Travel

Monday, October 25, 2010

Islamic Fashion Festival 2010

Sejak dua menjak nih ramai yg sharing pasal Islamic Fashion Show kat Monaco yang dikatakan tak Islamic dan gambar yg disharingkan pun memang semua gambar tak bertudung..bila tengok gambar2 tu..teringin sangat nak tau sapa punya design la tu..designer Malaysia ke? Islam ke dia? Bila cari2, jumpa jugak gambar design dari TOM ABANG SAUFI & MELINDA LOOI

Rekaan Tom Abang Saufi

Rekaan Melinda Looi

IFF juga ada official website dan boleh tengok sendiri kat sini http://www.islamicfashionfestival.com.my/

Rupanya2 IFF dah bermula dari tahun 2006, org yg tak ikut perkembangan fesyen macam saya memang la tak tau. Kalau x disebabkan ramai yg duk komplen pasal IFF baru2 ni..mesti sampai bila pun saya tak tau adanya IFF ni.

Bagi saya IFF sangat bagus dan saya bangga Malaysia adalah pelopornya. Tapi, organizer patut pantau dan dan terapkan ciri2 Islamic yang sebenar pada design2 yang tak Islamic tu..okehh!! Jangan kan sebab nila setitik rosak susu sebelanga. Harap2, IFF di Monaco jadi pengajaran untuk organizer untuk lebih sensitif pada masa akan datang.

******************************************************



IFF promosi fesyen Islam

Oleh Fadzlena Jafar (Yang berkunjung ke Monte Carlo, baru-baru ini)

fadzlena@bharian.com.my

2010/09/07

Pelbagai rekaan diilhamkan dengan sentuhan budaya sesebuah negara BUSANA Muslimah sering digambarkan sebagai jubah panjang berpotongan lurus dan berwarna suram yang ditatahi taburan jemeki bagi menyerikan penampilan. Gambaran sempit mengenai busana Muslimah itu mungkin meminjam fesyen yang sering digayakan wanita di Asia Barat, iaitu abaya yang menjadi pakaian wajib disarungkan wanita rantau berkenaan.Budaya di kebanyakan negara Asia Barat mewajibkan pemakaian abaya, seolah-olah pakaian seragam, manakala di dalamnya adalah baju yang mungkin selari dengan aliran fesyen antarabangsa. Malah kebanyakan wanita Asia Barat yang mempunyai kedudukan, amat gemar mengenakan pakaian berjenama sebelum disarungkan dengan abaya.

Hakikatnya, Islam bukan hanya tertumpu di rantau berkenaan, sebaliknya selain Malaysia, beberapa negara seperti India, China, Indonesia dan United Kingdom turut mempunyai penduduk Islam yang ramai. Di China umpamanya, penduduk Islam turut tampil menutup aurat, tetapi mengenakan pakaian yang selari dengan budaya di negara itu seperti qi pao dan cheongsam.

Malah, di India, rakyat beragama Islam tampil mengenakan busana yang menggambarkan budaya negara berkenaan, seperti sari dan kurta, tanpa meminggirkan tuntutan syariat untuk menutup aurat.

Peka dengan perkembangan itu, Festival Fesyen Islam (IFF) yang diperkenalkan sejak 2006 mengambil inisiatif tampil dengan pelbagai rekaan busana Muslim yang boleh dimanfaatkan sama ada sebagai pemakaian harian mahupun digayakan ke majlis rasmi.

Pengasas yang juga Pengerusi IFF, Datuk Raja Rezza Shah, berkata seperti pemakaian abaya yang menjadi budaya di Asia Barat, setiap negara juga mempunyai busana tradisional yang menjadi amalan harian dan boleh disesuaikan dengan fesyen Islam tanpa meminggirkan tuntutan syariat.

“Jubah panjang adalah budaya di Asia Barat, dan setiap negara ada budaya tersendiri termasuk busana tradisi yang menjadi amalan harian. Negara kita umpamanya, baju kurung sudah tampak sopan digayakan. Tidak salah jika memanfaatkan busana yang menjadi gaya hidup tempatan dengan syarat pemakaiannya memenuhi kehendak agama,” katanya ketika ditemui di Monte Carlo, sempena IFF di kota indah itu.

Mengambil kira pandangan itu, IFF bermatlamat menjadi landasan bagi pereka yang terbabit dalam festival berkenaan untuk tampil dengan rekaan segar yang memenuhi kehendak agama.

Sehingga kini, selain Kuala Lumpur dan Monte Carlo, IFF sudah melebarkan sayap di kota besar seperti Jakarta, Dubai, Abu Dhabi dan New York yang diadakan pada April lalu, dengan pembabitan kira-kira 200 pereka fesyen sejak 2006.

Di Monte Carlo, IFF lebih tertumpu kepada inisiatif mempromosikan fesyen Islam di Eropah menerusi majlis makan malam gala yang diadakan di Dewan Monte Carlo Sporting Club, satu-satunya dewan besar di pusat pentadbiran Monaco yang mampu menghimpunkan 1,000 tetamu.

Begitu pun, bagi menarik perhatian penduduk tempatan, IFF memulakan siri promosi itu dengan acara lebih santai menyaksikan pratonton koleksi percutian Datuk Tom Abang Saufi yang diserikan dengan persembahan kebudayaan Sarawak di pentas kecil di kawasan pelabuhan Monte Carlo.

Menarik mengenai lokasi dipilih, kawasan berkenaan bukan saja menjadi tarikan pelancong dan penduduk tempatan, bahkan jalan raya di situ yang juga laluan litar Formula Satu (F1) Monaco dan pernah menjadi lokasi penggambaran filem Iron Man 2, sekali gus menjadikan acara ‘pemanas’ IFF itu berada pada kelas tersendiri.

Malah kehadiran media tempatan dan Perancis membuat liputan acara pemula itu turut menandakan kehadiran fesyen Islam di Barat mulai diterima masyarakat antarabangsa.

Selepas permulaan yang hebat itu, tidak keterlaluan jika dikatakan kemuncak IFF Monaco yang diadakan pada majlis makan malam gala dua hari selepas acara santai di kawasan pelabuhan Monte Carlo itu lebih berprestij dengan dihadiri Putera Monaco, Putera Albert II dan golongan elit Eropah.

Apatah pula apabila melihat dekorasi dalam dewan unik yang menyediakan pentas dan bumbung bergerak itu, membuktikan malam gala IFF bukan sekadar persembahan biasa. Hasil sentuhan Bentley's Entertainments, pereka kegemaran selebriti antarabangsa yang pernah mencorak majlis perkahwinan David Beckham, tidak perlu dipertikaikan dengan pilihan rona putih gading di seluruh dewan.

Selain Putera Albert, kehadiran tetamu kehormat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung IFF; Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad Jassim dan isteri, Sheikha Noora Abdul Aziz serta Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr Abdul Taib Mahmud membuatkan majlis makan malam gala itu cukup bermakna.

Bermula dengan pertunjukan kebudayaan Zapin Sarawak dan persembahan membanggakan dua penyanyi Malaysia, Syafinaz Selamat serta Datuk Shake yang kini kembali bermastautin di Perancis, paparan koleksi pereka IFF dengan penggunaan warna terang bersesuaian dengan cita rasa penduduk di selatan Perancis itu turut mencuri tumpuan.

Rekaan ala riviera dengan motif unik berlatarkan rona sempena musim panas, koleksi Tom yang bertemakan Romance of Borneo menyuntik kelainan dengan motif Orang Ulu kebanggaan Sarawak. Cantik memikat dengan rekaan yang indah berseni diserikan penggunaan ala turban menutup kepala.

Jika Tom setia dengan motif warisan Sarawak, rekaan pereka yang juga sinonim dengan IFF, Ghea Pangabbhean pula mengekalkan warisan Indonesia menerusi motif pilihannya bersesuaian dengan tema Spirit of Indonesia. Selain Ghea, Indonesia turut diwakili pereka Itang Yunasz.Melengkapkan IFF Monaco yang bertemakan The Beauty of Modesty, pereka Malaysia Melinda Looi, Michael Ong, Khoon Hooi, Variante dan Albert King, berkongsi pentas mempertontonkan rekaan kreatif diilhamkan daripada busana Muslimah menerusi tema Interpretations.

Namun, penampilan koleksi pereka kelahiran Palestin, Hindi Mehdi dengan koleksi Glamour a Paris bagaikan ‘tergelincir’ daripada konsep pertunjukan. Pereka yang kini sedang mencipta nama di pentas peragaan Paris itu bagaikan tidak peka dengan konsep IFF dengan menampilkan rekaan kurang sesuai untuk busana Muslimah.Penggunaan selapis kain organza hitam menutupi kepala, tetap tidak mampu melindungi rekaan yang mendedahkan sebahagian besar dada dan belakang badan model yang memperagakan rekaan berkenaan.

Mungkin beliau akan lebih berhati-hati pada masa depan (jika masih diberi peluang menyertai IFF) selepas menyaksikan koleksi menawan pereka lain yang nyata lebih menepati konsep. Bagaimanapun, koleksi African Inspiration oleh pereka kelahiran Cameroon, Parfait Behen, yang menutup tirai IFF wajar diberi pujian. Walaupun model yang memperagakan koleksi berkenaan tidak tampil sepenuhnya menutup aurat, rekaan dihasilkan sopan dengan motif yang memaparkan sentuhan Afrika, antaranya corak harimau bintang yang sinonim dengan benua unik itu.

Mengulas mengenai kegagalan Mehdi untuk menepati konsep IFF, Raja Rezza berkata, beliau tidak kecewa meskipun sudah memberi penerangan mengenai IFF kepada setiap pereka terbabit, sebaliknya berharap pereka fesyen sedang meningkat naik itu belajar daripada pemerhatiannya pada malam gala itu.

“Ini pertama kali beliau terbabit dalam IFF. Namun, memandangkan matlamat IFF ialah mendidik pereka mengenai fesyen Islam dan menterjemahkannya dalam budaya masing-masing, kita harap Mehdi akan lebih peka pada masa depan. Proses pembelajaran itu sendiri tidak berlaku sekelip mata, apatah pula pereka yang tidak pernah menghasilkan rekaan untuk busana Muslimah. Kita harap sedikit demi sedikit mereka dapat memahami sepenuhnya apa itu fesyen Islam.

“Saya pernah bertemu dengan seorang Imam, namanya Imam Faisal di New York yang tertarik dengan IFF. Dalam perbualan kami dia menghargai apa yang kami lakukan ini, walaupun padanya ia sesuatu menuntut masa dan tenaga. Namun, saya katakan kepadanya, saya suka dengan apa yang dilakukan ini dan dia berkata, jika itulah minat saya, maka Tuhan akan merestui dan membantu setiap apa yang saya lakukan,” katanya.

Malah, dalam ucapan Rosmah pada gala IFF, beliau berharap menerusi acara fesyen seperti IFF, dapat merapatkan jurang antara dunia Barat dan masyarakat Islam yang dianggap pengganas sejak tragedi 9/11.“Kita harap, menerusi fesyen seperti yang dipaparkan IFF ini dapat memberi pemahaman lebih luas dan juga rasa hormat antara masyarakat yang berbilang agama serta kepercayaan.

Festival yang dipelopori Malaysia ini sudah melalui perjalanan yang jauh termasuk ke Monaco dengan harapan dapat mengubah persepsi, memberi ilham kepada rekaan dan mengukuhkan pertalian antara negara.“Dan saya gembira IFF diberi peluang untuk dianjurkan di Monaco yang bukan saja indah, tetapi sejak sekian lama menjadi sumber inspirasi kepada penghasilan rekaan fesyen di seluruh dunia,” katanya.

Pada majlis itu, sejumlah RM789,600 (Euro188,000) berjaya dikumpul menerusi lelongan tiga barangan istimewa, termasuk gambar Putera Albert II ketika mengunjungi Sarawak, dua tahun lalu, bagi membantu kempen pemuliharaan alam sekitar yang menjadi objektif utama Yayasan Putera Albert II Monaco. Sumbangan itu disampaikan olah Rosmah kepada Putera Albert yang nyata amat berbesar hati dengan penganjuran IFF di Monaco.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Sebab Sudi Komen :)


Daisypath Anniversary tickers